Hari ini merupakan hari yang agak padat. Memandangkan esok, hari Khamis adalah hari separa cuti bagi hospital dan para doktor, makanya segala yang dijadualkan untuk esok terpaksa dibawa ke hari ini, dan dihabiskan. Jadi, hari ini adalah hari terakhir saya di department Urology dan Nephrology. Oleh itu, setiap round perlu dihabiskan pada hari ini juga. Secara keseluruhannya, round yang dilakukan pada hari ini adalah:
1) Operation Room of Pediatrics
2) Ward Round
3) Stone Clinic
4) Outpatient Clinic
Tempat : Urology and Neurology Specialist Centre, Mansoura University of Egypt
Round : Operation Room (O.R)
Kumpulan : 2 (Minggu Pertama)
Sepatutnya, round yang dijadualkan pada hari ini adalah outpatient clinic sahaja. Tetapi memandangkan di O.R hari ini berlangsung satu pembedahan yang belum pernah dilihat, saya mendahulukan O.R sebelum bergerak ke outpatient clinic. Pembedahan pada hari ini adalah Panendoscopy dan Vesicostomy bagi seorang kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun sahaja. Masih sangat kecil kan. Kasihan sangat mengenangkan nasib yang sedang beliau alami. Pesakit ini mengalami congenital anomalies (sejak lahir) di mana valve pada uretranya tidak terbuka dengan lengkap. Jadi, menggunakan kaedah panendoscopy, doktor akan menggunakan sejenis pisau untuk membuka valve tersebut.
Bagi yang tidak mengetahui, panendoscopy ini seperti juga endoscopy di mana satu alat dimasukkan ke dalam mana-mana rongga berkaitan, dan mempunyai kamera kecil yang akan dipancarkan pada skrin tv. Jadi, pembedahan tidak perlu dilakukan pada luaran. Valve akan dibuka di dalam tanpa perlu sebarang cutting pada superficial skin. Ini lah yang menariknya pada O.R pada hari ini. Saya belum pernah melihat kaedah ini. Ini adalah pengalaman pertama.
Nampak tak alat yang macam 'pistol' berdekatan dengan kapas putih tu.. itulaa alatnya.. (nama sebenar alat itu tidak dapat dikenalpasti)
Kanak-kanak yang baru merumur 3 tahun, sedang disiapkan untuk pembedahan. Tengok, sangat kecil lagi kan. Sayu terasa melihatkan pesakit ini.
Round : Ward Round
Round seterusnya adalah di wad pesakit. Sebenarnya tidak tertulis pun di dalam jadual untuk round ini. Tetapi, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah ke pangkal lengan kan. Alang-alang sudah berpeluang memasuki hospital ini, saya dan Akmal mengambil keputusan untuk cuba memasuki wad dengan petunjuk daripada salah seorang nurse yang sangat baik hati menjadi 'tourist guide' kami. Syukur Alhamdulillah dipermudahkan urusan. Bukan apa, teringin sangat untuk melihat pesakit-pesakit di tempat mereka berehat.
Kami lebih bernasib baik lagi apabila secara tidak sengaja bertemu dengan seorang pesakit yang mana kami ikuti pembedahannya pada hari Sabtu yang lepas. Seronok sangat apabila pesakit tersebut mengenali saya. Kami sempat berbual sebelum pesakit tersebut dibius dan masuk ke dewan bedah tempoh hari. Pada waktu itu dia kelihatan sangat gelisah. Lega rasanya hari ini dapat melihat muka cerianya yang sedang disuap makanan oleh ibu tercinta. Mukanya nampak lebih gembira. Seronok! Tersenyum tersipu-sipu malu saja pesakit tersebut melihatkan saya sambil bercerita pada ibunya. Macamni ke perasaan doktor sebenar ye?

Di sebelah pesakit tersebut adalah bayi yang juga sedang dipantau setelah pembedahan dua minggu yang lepas. Masih kecil kan.. kasihan sangat. Di wad kanak-kanak hospital ini, ibu disediakan tempat tidur di sebelah pesakit sebagai peneman. Bagus kan pengurusan hospital ini. Ketiga terbaik di Arab Republik la katakan.. (untuk department ni je tau, bukan hospital di Egypt secara keseluruhannya).
Round : Stone Clinic
Round ini sebenarnya dijadualkan esok. Tetapi menurut mentor kami, O.R dan kebanyakan urusan tidak dilakukan pada hari khamis kecuali bagi kes-kes yang kecemasan sahaja. Jadi, esoknya adalahhari cuti juga untuk kami secara tidak rasmi. Round ini sangat ringkas sahaja. Maka ianya selesai dalam masa kurang daripada sejam sahaja. Di stone clinic ini, adalah tempat memecahkan batu karang (stone) pesakit. Pegawai yang betugas di sini tidak begitu mahir berbahasa Inggeris. Jadi, tidak begitu banyak maklumat yang berjaya diperoleh. Hanya mata sahaja yang menafsirkan sendiri apa yang dilihat.
Secara kesimpulannya, untuk melakukan proses ini, pesakit akan dibaringkan mengikut posisi yang tertentu bergantung pada kedudukan stone tersebut, Kemudian, menggunakan CT scan yang telah direkodkan oleh unit Radiology, stone akan difokuskan. x-ray scan juga digunakan untuk proses ini untuk melihat stone dengan lebih jelas. Setelah kedudukan stone dikenalpasti, gelombang yang bersesuaian akan dialurkan untuk memecahkan stone tersebut.
Perhatian ye, stone bukan dipecahkan dengan mudah secara sekaligus, tetapi mengambil masa paling minimum 30 minit. Ia akan dipecahkan sedikit demi sedikit. Kemudian, serpihan stine tersebut akan di buang dari badan melalui air kencing. Sangat menakjubkan. kuasa Allah membolehkan manusia mencipta teknologi sebegini sebagai alternatif perubatan.
Tempat : Outpatient Clinic Centre of Urology and Nephrology Specialist Centre, Mansoura University of Egypt.
Round : Outpatient Clinic
Pada jam 12 tengahari barulah kami gerak dari centre utama ke cawangan centre department ini untuk memasuki Outpatient Clinic (Wad pesakit luar). Wad pesakit luar ini, sama seperti klinik-klinik swasta yang selalu kita rujuk untuk demam atau sakit-sakit minor. Cumanya ini adalah di hospital. Di wad pesakit luar ini terdapat beberapa jenis kes yang berkemungkinan iaitu :
i) pesakit yang belum dikenalpasti penyakitnya
ii) pesakit baru yang hanya datang menyatakan sebarang tanda-tanda abnormal pada dirinya
iii) pesakit yang sudah mempunyai rekod untuk di follow-up
iv) pesakit yang akan dibedah
v) pesakit yang follow-up selepas pembedahan (post operation cases)
vi) pesakit yang kehabisan ubat, untuk follow-up ubat seterusnya
vii) sebarang masalah lain bagi pesakit
Setibanya kami di sana, kawasan menunggu sangat-sangat padat memandangkan itu adalah waktu 'peak'. Daripada kaunter pertanyaan, kami terus dibahagikan dan dibawa ke blilik doktor untuk melihat keadaan pesakit bersama doktor yang bertugas. Mujurlah, saya bernasib baik mendapat doktor yang agak friendly. Sambil melayan karenah pesakit, sempat juga beliau menerangkan serba sedikit tentang pesakit tersebut dan masalah yang dihadapi. Tetapi, memandangkan keadaan semakin mengekang dan doktor yang bertugas pada hari itu adalah sangat sedikit, doktor tersebut semakin sibuk dan sudah mulai kurang bercakap. Beliau sendiri meminta maaf kerana tidak dapat memberikan keterangan yang lengkap.
Makanya, kami terpaksalah menggunakan mata dan akal fikiran sendiri untuk cuba menafsirkan setiap apa yang berlaku. Dan hanya curi-curi bertanya jika berkesempatan. Kasihan juga melihatkan kekalutan doktor-doktor yang bertugas di bilik masing-masing pada hari itu. Keletihan yang amat dapat dilihat. Iyalah, bermacam-macam karenah pesakit dan bermacam-macam penyakit yang terpaksa di layan.
Kecekapan, kepantasan dan kesabaran yang sangat tinggi sangat diperlukan pada ketika ini. Kecekapan dari segi mnafsirkan penyakit, memilih ubat yang sesuai dan membuat keputusan seterusnya. Kepantasan berfikir.. mengeluarkan semula beribu-ribu jenis drugs yang pernah dihafal semasa medical school dulu mengikut kesesuaian pesakit. Kesabaran pula dalam melayan karenah pesakit untuk pelbagai peringkat umur. Subhanallah..
p/s: banyak sangat pengajaran yang dipelajari pada hari ini terutamanya di wad pesakit luar. sekurang-kurangnya dapatlah sedikit gambaran mengenai kerjaya sebenar sebagai seorang doktor. insyaAllah.. dengan masa yang masih ada sebelum graduation nanti, sifat-sifat yang diperlukan dalam diri seorang doktor akan sedaya upaya ditanam dalam diri untuk menjadi antara doktor yang terbaik dari segala segi. Aminn ya Robb.
sedih juga rasanya untuk meninggalkan department ini. minggu hadapan akan bermula di departmenr baru pula. hurm.. moga-moga lebih banyak yang dipelajari nanti.
ohh.. saya bercuti secara tidak rasmi ye selama 3hari pada minggu hadapan. sayang juga rasa nak skip 'kerja' di oncology department, tetapi, cuti tetap cuti. trip ke SINAI tetap akan diteruskan. maka 'kerja' saya akan digantikan oleh rakan seperjuangan yang lain. yelah, biarlah orang lain sama2 turut merasa kan? akhir kata, selamat bercuti!











No comments:
Post a Comment